Sunday, November 7, 2010

Cinta Maya - part6

Tak sampai beberapa minit, Umar dan Yana sudah berada di dalam kereta. Umar mengelilingi bandar Seremban cuba mencari tempat untuk karoke. Setelah 30 minit mencari tempat karoke, akhirnya Umar memarkirkan keretanya betul-betul di hadapan sebuah pusat karoke. Yana mengikut Umar mendaki tangga untuk ke tempat karoke itu. Di sana kedengaran pelbagai jenis suara manusia sedang seronok menyanyi. Bunyinya kedengaran agak sumbang. Huhu..
Umar menempah sebuah bilik karoke selama sejam. Bilik bernombor 22 dimasukinya. Yana hanya mengikut daripada belakang. Kelihatan hanya mereka berdua berbangsa Melayu di sana. Rata-rata yang tengah berkaroke adalah daripada kalangan yang berbangsa Cina. Yalah..mana ada orang yang tengah berpuasa sanggup pergi berkaroke di kala matahari sedang memancar tegak di atas kepala.
Umar mula mencari lagu kesukaannya. Hanya lagu Indonesia yang banyak dinyanyikannya. Selesai menyanyikan beberapa buah lagu, Umar kelihatan seperti sedikit penat.
“Yana nak nyanyi lagu apa?” Yana tersentak daripada lamunannya. Dia hanya tersenyum.
“Entah..suka hati Umar la nak suruh Yana nyanyi lagu apa-apa pun..”
“Yana ni..”
“Erm..try cari lagu Rossa..”
Tangan Umar pantas menekan butang-butang di hadapan skrin tempat karoke.
“Lagu ni okay?” Umar menatap wajah Yana meminta kepastian.
“Bolehlah..lagu Ayat-ayat Cinta tu..erm, try tekan lagu Aku Bukan Untukmu..” Acuh tidak acuh je Yana memilih lagu untuk dinyanyikannya. Namun selepas itu, setiap tajuk lagu yang keluar daripada mulut Yana, semuanya dipilih oleh Umar. Yana hanya tersengih.
‘Umar ni nak buli aku nyanyi ke? Tapi, tak kisahlah…Aku memang suka nyanyi pun. Sorang-sorang dalam bilik pun jadilah. Haha..’
Yana hanya mengikut rentak Umar. Kepalanya sudah terlentok di bahu Umar. Terasa sangat selesa ketika pertama kali keluar dengan Umar bagaikan Yana sudah lama mengenali Umar. Hakikatnya, perkenalan mereka yang sudah menjangkau lebih 4 tahun hanya pada dunia maya.
Semua lagu-lagu yang dipilih oleh Umar dinyanyikan secara selamba oleh Yana. Malah, dia tidak terasa sedikit penat pun. Yana buat muka berlagak.
“Alaa..Yana tak apalah nak karoke banyak-banyak pun. Yana bukannya puasa…”
“Walaupun Yana tak puasa, tapi Yana tak makan pun lagi ni sejak sahur tadi.” Muka Yana mula menunjukkan riak tidak puas hati.
“Yalah tu..” Umar terus-terusan menyakat Yana. Yana hanya buat-buat muka selamba.
Keluar sahaja daripada pusat karoke itu, Umar sempat mengambil gambar bersama dengan Yana di tangga pintu masuk ke pusat karoke. Mungkin itulah satu-satunya gambar Yana dan Umar bersama.
Sekali lagi, kereta Latio terus meluncur selesa di jalan raya sekitar bandar Seremban. Kali ini mereka tiba di Seremban Parade.

Cinta Maya - part5

“Sorry, Yana lambat ke?” Yana bertanya dengan sedikit rasa bersalah setelah membuka pintu kereta sebelah penumpang.
“Tak adalah..” Umar mula menghulurkan sebuah senyuman. Tidak pasti sama ada senyuman itu ikhlas atau cuma dibuat-buat untuk menyedapkan hati. Yana cuba berfikiran positif.
“Erm, Umar..kita nak pergi mana ni?”
“Mula-mula kita pergi cari tiket untuk kawan Umar dulu.” Umar tersenyum.
“Ok, lepas tu…………?” Yana memuncungkan mulutnya.
“Entah……” Umar cuma mengangkat bahu dan Latio miliknya mula meluncur pergi.
Persinggahan mereka yang pertama adalah di Terminal One, Seremban. Kawan Umar telah meminta tolong Umar untuk mencarikannya tiket balik ke Kuantan, tempat dia membesar bersama Umar. Hampir semua kaunter tikat bas disinggahinya namun Umar masih tidak dapat membuat keputusan yang tepat tentang tiket yang akan dibelinya. Kemudian, dia berhenti rehat di kerusi Ogawa yang terletak di depan kaunter tiket. Sungguh selesa berada di kaunter itu sehinggakan dia rasa ingin tertidur.
Yana mula melangkah menuju ke toilet membiarkan Umar terus melayan keselesaan di atas kerusi Ogawa. Sekembalinya daripada toilet, di melihat seorang budak sedang berusaha memasukkan duit kertas RM1 di tempat meletakkan wang kertas kerusi Ogawa di sebelah Umar. Terasa kelakar melihat telatah seorang budak yang begitu berusaha untuk mencuba sesuatu yang baru. Budak yang berusia dalam lingkungan 10 tahun itu tidak mengambil masa yang lama untuk menggunakan kemudahan kerusi Ogawa. Sesekali kelihatan dia menggosok kepalanya, mungkin kerana sakit terkena urutan kerusi ogawa itu. Kepalanya kelihatan terhantuk pada alat mengurut kerusi Ogawa itu. Sepatutnya, alat itu berada di belakang badan namun kerana terlalu pendek, alat itu terkana kepalanya. Sungguh kelakar melihat budak yang setengah inci ini cuba berlagak dewasa. Entah apa yang dilenguhkannya sampai sanggup membayar RM1 untuk menggunakan kerusi urut. Sedang Yana leka memerhatikan keletah budak itu, Umar telah pun selesai menggunakan kerusi urut tersebut.
“Yana, jom!”
“Nak pergi mana?”
Umar hanya tersenyum. Persoalan daripada Yana masih tidak dijawabnya. Yana hanya menurut langkah Umar tanpa banyak bersuara. Dia sedikit kebingungan namun Seremban bukanlah tempatnya untuk dia berbuat sesuka hati. Dia masih baru di sini.