Saturday, February 19, 2011

Biarkan Aku Kembali Senyum - part3

Maya menatap wajahnya di cermin biliknya. Wajahnya sudah semakin pucat. Sudah beberapa hari dia tiada selera untuk makan. Aktiviti sehariannya cuma tidur. Dia ingin melupakan semuanya dengan tidur namun dia tetap bermimpikan Amar. Di cermin itu jugalah dia nampak bayangan Amar sedang memeluknya daripada belakang sambil tersenyum. Dia begitu merindui saat itu. Saat indah yang hanya seketika.
“Abang suka peluk Maya macam ni. Entah la..rasa best jek.”
Maya memandang Amar yang sedang tersenyum. Lapang rasa hatinya. Akhirnya, dia turut mengukirkan sebuah senyuman untuk Amar.
Maya menyentuh permukaan cermin itu sambil membayangkan wajah Amar. Dia ingat setiap satunya bentuk di wajah Amar. ‘I miss you Amar..so muchǃ’
Dia teringat lagi kali terakhir ketika menemui Amar, Amar asyik menggosok kepalanya. Adakah iu tandanya Amar mengucapkan selamat tinggal kepadanya? Dan hari itu juga entah kenapa dia mahu menatap wajah Amar lama-lama kerana hatinya terdetik yang selepas itu mereka akan sukar untuk berjumpa. Dia mahu menghabiskan masanya berseronok dengan Amar. Anehnya, selepas apa yang berlaku, dia makin sukar untuk melupakan Amar.
Akhirnya, hanya air mata yang menjadi peneman setia Maya malam itu.
Malam itu, seperti biasa Maya membaringkan badannya untuk tidur. Itulah aktiviti utamanya sejak ditinggalkan Amar. Hendak study pun dia tidak mampu. Setiap kali dia membuka matanya wajah Amar yang sentiasa menghiasi pandangan matanya, di fikirannya. Maya penat. Dia lebih suka memejamkan matanya. Di situ, Amar tetap menunggunya dan di sinilah Amar adalah miliknya yang abadi..…tanpa kehadiran Fatin.
Bila terjaga, Maya hanya membayangkan dia sedang bermimpi. Kenapa dia terus terjaga sekali lagi? Dia tak mahu meninggalkan Amar di sana. Air matanya mengalir sekali lagi bila menyedari realitinya menyakitkan. Kenapa Amar sanggup meninggalkannya begitu?
Dia menyiapkan diri untuk ke kuliah. Betapa berat kakinya melangkah. Tidak mahu serasanya hidup di dunia ini sekiranya hanya merasakan kesakitan tiap kalinya. Berkali-kali jua Maya membayangkan dirinya mati. Tapi kenapa dia masih hidup hingga ke hari ini? Kadang-kadang terasa sesak dadanya untuk bernafas hingga dia terbatuk-batuk kecil. Dia tidak terdaya lagi menghirup oxygen di bumi ini seperti biasa.
Ketika bas yang dinaikinya melintasi tempat menjual baju pengantin, hatinya seperti dicalar-calar. Dia seakan dapat membayangkan betapa gembiranya Fatin di samping Amar. Dan Amar pula hanya meneruskan segalanya dengan Fatin hanya kerana rasa tanggungjawab. Dia lebih mementingkan perasaan keluarganya melebihi segalanya. Tidak tahu kenapa tapi hati Maya kuat menyatakan pertunangan yang disebutkan Amar tempoh hari merupakan permintaan daripada keluarganya.
‘Argh, sampai bila aku harus jadi macam ni?’ Maya mengeluh. Penat. Yang pastinya apa yang dirasainya diharap tidak akan berulang untuk kali ketiga. Dia cukup penat melayan perasaan seperti ini. Kalaulah dia dapat tidur yang panjang yang tidak memerlukan dia menghadapi saat-saat seperti ini. Mahu sahaja ditelannya pil yang banyak untuk menghilangkan semua sakit di hatinya namun syukurlah dia tidak segila itu.

No comments:

Post a Comment